Subscribe:

Friday 2 December 2011

Sabah Komited Bantu Negara Lahirkan Atlet Bertaraf Dunia - Musa Aman

KOTA KINABALU, 27 Julai (Bernama) -- Kerajaan Sabah akan terus meningkatkan program pembangunan sukan di negeri ini bagi membantu merealisasikan misi sukan negara untuk melahirkan atlet bertaraf dunia.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata ini termasuk penyaluran peruntukan bagi melaksanakan pelbagai program berkaitan dan penyediaan serta peningkatan infrastruktur sukan mengikut keutamaan dan keperluan.

"Kerajaan negeri berbangga dengan pencapaian dan pembangunan sukan negeri. Sumbangan ahli sukan bukan sahaja membantu menaikkan imej negara khususnya negeri Sabah, bahkan menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi negeri," katanya dalam ucapan alu-aluan sempena majlis anugerah sukan negeri Sabah 2009/2010 di sini Rabu malam.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Yee Moh Chai.

Musa berkata kejayaan Sukan Sabah (SAGA) termasuk edisi terbaru di Keningau jelas membuktikan rakyat memainkan peranan yang penting bagi melibatkan diri dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan sukan negeri.

"Ini sekali gus berupaya mengukuhkan lagi semangat perpaduan, melahirkan warga yang sihat dengan jati diri yang kukuh sesuai dengan semangat 1Malaysia," katanya.

Beliau berkata Sabah juga merupakan negeri yang mempunyai kemudahan dan prasarana sukan yang terbaik termasuk padang golf bertaraf antarabangsa seperti yang diakui oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Musa berkata rakyat Sabah turut berbangga dengan pencapaian para atlet negeri pada tahun 2009 dan 2010 yang telah mewakili negara dalam kejohanan utama.

Ini termasuk kejayaan Ibrahim Amir memenangi pingat perak dalam sukan snuker dan billiard di Sukan Asia tahun lepas dan Aricco Jumitih yang meraih pingat emas dalam sukan angkat berat di Sukan Komanwel di New Delhi, India, katanya.

Beliau berkata 10 atlet kebangsaan dari Sabah juga telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang dengan memperoleh kemenangan (termasuk perenang negara Chui Lai Kwan) di Sukan SEA 2009 di Laos, Sukan Komanwel dan Sukan Asia di Guangzhou.

"Kesemua atlet yang telah mempamerkan pencapaian yang cemerlang ini telah diberi insentif dan kerajaan sungguh berbangga dengan pengorbanan dan pencapaian para atlet kita," katanya.



Sumber - BERNAMA

No comments:

Post a Comment