Subscribe:

Thursday 1 December 2011

Kinabalu Mountain Climbathon 2011

Climbathon Antarabanga TM Ke-20 Di Gunung Kinabalu


KOTA KINABALU, 20 Sept (Bernama) -- Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu TM Ke-20 pada 30 Sept dan 1 Okt ini di tapak Warisan Dunia Gunung Kinabalu akan menjadi acara untuk memilih pelari gunung terbaik di dunia tahun ini.

Climbathon itu, yang dianjurkan bersama oleh Lembaga Pelancongan Sabah dan anak syarikat penuhnya, Sri Pelancongan Sdn Bhd, adalah sirkit terakhir dalam siri Buff Sky Runner Dunia anjuran Persekutuan untuk Sukan Berketinggian.

"Setakat ini, Rocardo Mejia, seorang daripada 63 pelari antarabangsa telah mengesahkan penyertaannya dalam perlumbaan itu. Mejia dari Mexico kini mendahului Siri Sirkit Dunia bagi kategori lelaki, manakala Angela Mudge dari Great Britain mendahului kategori wanita.

"Mejia juga adalah juara lelaki acara Climbathon tahun lepas dan dijangka mengekalkan gelarannya pada tahun ini," kata pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Seri Tengku Zainal Adlin Tengku Mansor pada sidang akhbar bagi mengumumkan pelantikan Telekom Malaysia sebagai penaja utama perlumbaan itu.

Berikutan penajaan itu, perlumbaan tahun ini akan dikenali sebagai Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu TM 2006 Ke-20 yang sebelum ini hanya dikenali sebagai Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu.

Beliau berkata pelari Perancis Corrine Favre dan pelari Itali Dapit Fulvio, memenangi tempat kedua dalam kategori wanita dan lelaki masing-masing pada tahun lepas dan kini menduduki ranking kedua dalam siri sirkit dunia itu bagi kategori masing-masing.

Menurut Tengku Adlin, Mejia, Mudge, Favre dan Fulvio ialah antara beberapa nama yang dikenali dalam lingkungan pelari gunung yang akan kembali menyertai perlumbaan di sini tahun ini. Selain mereka ialah juara kategori wanita pada 2001, 2002, 2004 dan 2005 Anna Pichtrova dari Republik Czech yang juga telah mengesahkan penyertaannya.

Pencapaian Anna tahun ini termasuk memenangi tiga daripada enam siri Grand Prix Persatuan Pelari Gunung Dunia (WMRA) yang diadakan di Eropah.

Tahun ini, muka baru Iva Milesova, juga dari Republik Czech, yang menduduki tempat kedua enam siri Grand Prix WMRA itu tahun lepas juga akan mengambil bahagian dalam perlumbaan di sini.

Rekod bagi kategori lelaki pada 2003 yang dibuat oleh Marco De Gasperi dari Itali iaitu 2:26:59 masih belum dipecahkan manakala rekod kategori wanita oleh Anna Pichtrova dengan catatan 3:06:54, juga belum dipecahkan sejak 2004.

Rekod bagi kategori lelaki veteran kini dipegang oleh pelari Malaysia, Rodimin Sodundu iaitu 3:07:22 yang dicatatnya pada 2004.

Seramai 252 pelari tempatan dan antarabangsa dari 20 negara telah mengesahkan penyertaan masing-masing dalam acara tahunan itu yang menawarkan hadiah berjumlah AS$33,400.

Satu pasukan dari Persekutuan Perlumbaan Gunung China akan menyertai Climbathon itu buat pertama kalinya yang terdiri daripada tiga peserta bagi kedua-dua kategori lelaki dan wanita.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment